Surat untuk bakal suami


Assalamualaikum wahai bakal suamiku..

Tertulisnya warkah ini tepat jam 4.17 pagi, bertarikh 24/11/2015, bukan sekadar mengisi waktu atau kerana tidur terganggu tetapi untuk berkongsi rasa dan ku tulis warkah ini dari hati moga ia menjadi lakaran permulaan yang indah buat kita.

Wahai bakal suamiku.. apa khabar? Aku harap kau sentiasa berkeadaan baik dan sihat walafiat tidak kira dimanapun kau berada. Semoga setiap jalan yang kau lalui, pekerjaan yang kau lakukan dan hari-hari yang kau tempuhi sentiasa berada dalam rahmat dan redha Allah yang tidak terhingga. Aku mendoakan segala kebaikan sentiasa disisimu. Amin.

Wahai bakal suamiku.. Pertamanya aku ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup ini dan sudi menjadikan aku suri hatimu. Terlalu syukur kurasakan sewaktu engkau melamarku sehingga mengalir air mata ini tidak terasa. Sesungguhnya telah lama aku nantikan kehadiranmu, seorang insan yang berani menyatakan hasrat untuk menghalalkanku dan seorang yang sentiasa berusaha untuk kearah itu. Terima kasih kerana hadir dan menjadi perkara yang terindah dalam hidupku ini.

Wahai bakal suamiku… Sesungguhnya engkaulah yang akan menerajui kapal yang akan kita bina ini. Kelak, kebahagiaan kita sekeluarga kan menjadi tunggak utama disetiap pekerjaan yang engkau usahakan. Aku tahu ini adalah amanah yang terberat perlu kau pikul. Aku tahu amanah ini kelak menuntut keikhlasan dan keimanan yang teguh dari diri seorang manusia. Kerana itu, datanglah padaku pada saat kau merasa penat. Akan kucuba menyenangkanmu.

Wahai bakal suamiku.. Ketahuilah engkau, rindu itu buah cinta. Tanpanya takkan terasa manisnya hidup bersama. Aku harap rindu kan selalu bersemi antara kita tidak kira tika kau berada disebelahku mahupun tika kau berada jauh di negeri orang. Biarpun terkadang kita diisi dengan kesakitan dan air mata, aku mohon janganlah engkau berpaling dariku. Percayalah itu tanda Dia mengingatkan kita untuk saling menyokong agar sentiasa menjadi kuat dalam menempuhi kehidupan yang tidak mudah itu. Aku berharap disitu kan menjadi pahit ubat sebagai penyembuh hati dan hubungan kita..

Wahai bakal suamiku.. Hiduplah kita dalam ikatan percintaan Allah. Andainya rasa cinta itu kelak berkurang, tambahkanlah dengan sandaran kenangan. Andainya rasa cinta itu bertambah, syukurilah nikmat dari-Nya. Janganlah kau menganggap aku ini sesempurna bintang dilangit, kelak kau kan kecewa andai aku ada khilaf kerana aku juga manusia biasa seperti lainnya. Tautkanlah tanganku dan pimpinlah aku kearah yang engkau redhai kerana redhanya Allah terhadap seorang isteri letaknya pada redha seorang suami. Kita takkan selalu ketawa tetapi aku harap kita kan selalu saling memperbaiki kelemahan antara kita. Hargailah aku dan hubungan ini seperti mana payahnya untuk kita bermula dulu. Sesungguhnya engkau adalah cerminan diriku. Jika kau bahagia, maka bahagialah aku. Jika engkau berjaya, maka berjayalah aku. Dan andainya kau bersedih, aku juga turut menangis. Bersama kita mencari bahagia. Bersama kita membina cinta utuh. Andai kata ada antara kita yang pergi dahulu kelak, nescaya rindu itu hanya Allah sahaja yang tahu…

Wahai bakal suamiku.. Apa sahaja yang kita rencanakan percayalah hanya akan terjadi seandainya Dia berkehendakkan. Selalu saja percaya pada qada dan qadar agar kita tidak terlalu mendongak kelangit namun tidak juga kita terlalu lemas didasar. Peringatkan aku dan ajarkan aku apa yang terpendam dihatimu agar aku tidak ketinggalan dari langkahmu. Ketahuilah, kudrat ku mungkin tidak mampu menyelesaikan permasalahanmu. Namun, berilah aku peluang untuk selalu menjadi yang pertama disisimu. Aku hargai.

Wahai bakal suamiku.. Aku tak mengharapkan kesempurnaanmu. Aku tak mengaharapkan kau memewahiku dengan limpahan harta. Cukup saja kau disisiku kerana engkaulah itu dimana beradanya rumahku, duniaku, syurgaku..

::F&N

Popular posts from this blog

Pengalaman Bersalin Caesar (Czer) di Hospital Sungai Buloh

Bersalin Caesar (Czer): Suntikan Heparin

Pengalaman Bersalin Czer Kali Kedua: Kuasa Naluri Seorang Ibu